Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksTitah 2025


TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS ILMU 2025​

​​

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Rahee​m​​

 Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.​​​​​​

​​Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat serta izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul dalam perhimpunan Majlis Ilmu pada pagi ini.

Beta gembira melihat Majlis Ilmu terus menjadi tradisi sebagai salah satu acara yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Beta. Tidak syak lagi Majlis Ilmu adalah perhimpunan yang membawa rahmat dan berkat kepada kita dan negara kerana ilmu sendiri adalah cahaya. Majlis Ilmu bukan sekadar tuntutan intelektual, malah merupakan satu bentuk ibadat yang boleh mendekatkan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Tema Majlis Ilmu pada tahun ini ialah "Negara Ditanai Dengan Sedekah". Tema ini membawa maksud yang mendalam, bahawa sedekah bukan sekadar amalan individu, bahkan ia juga merupakan asas pembinaan sebuah negara. Jika tanah disuburkan dengan tanam-tanaman, dan hasilnya adalah buah-buahan dan sayur-sayuran, maka negara pula jika ditanai dengan sedekah. hasilnya adalah keberkatan, keamanan dan kesejahteraan.

Dalam konteks kehidupan bernegara, tidak diragukan, sedekah adalah mampu untuk melahirkan masyarakat prihatin dan menghakis sifat mementingkan diri sendiri.

Orang-orang yang bersedakah adalah mereka yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah. Ganjarannya amat besar di sisi Allah sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 261 yang tafsirnya: "Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah ialah seperti menanam sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai pula mengandungi seratus biji​​. Dan Allah menggandakan pahala bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas rahmat dan limpah kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui."

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam juga menegaskan bahawa sedekah menyuburkan harta, bukan mengurangkan harta.

Sedekah bukan saja dapat membantu golongan yang memerlukan, tetapi juga berfungsi sebagai penolak bala dan ubat penyembuh penyakit, sebagaimana Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda maksudnya: "Ubatilah pesakit kamu dengan sedekah".

Pengertian sedekah sangat luas, ia bukan hanya terbatas kepada bentuk harta atau wang ringgit, tetapi juga meliputi semua bentuk sumbangan yang ikhlas kerana Allah termasuk tenaga, ilmu, masa dan juga doa. Malah, menyingkirkan suata rintangan dari jalan juga adalah sedekah, dan bahkan memberikan sunyuman kepada orang lain pun dianggap sedekah, Sebagaimana disebut dalam hadits-hadits Nabi Muhammad Shallallahu "alahi wasallam.

Sedekah terbahagi kepada dua, sedekah sunat dan sedekah wajib. Sedekah wajib ialah zakat. Beta pernah menitahkan supaya pengurusan zakat, termasuk cara pengutipan dan pengagihannya, hendaklah diurus dengan sebaik-baiknya. Beta menaruh harapan yang tinggi agar pihak berkepentingan dalam pengurusan zakat dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh amanah, telus dan adil lagi efisyen, supaya tidak menimbulkan keresahan masyarakat khususnya kepada mereka yang berhak menerima zakat.

Beta juga ingin menekankan mengenai kepentingan pengurusan wakaf, yang merupakan satu amalan berpanjangan sebagai sedekah jariah. Di era teknologi kini, sedekah boleh dipermudahkan tanpa mengira masa dan tempat melalui pemindahan wang secara dalam talian, kaedah pembayaran digital, aplikasi mudah alih dan seumpamanya.

Kerajaan Beta telah pun mewujudkan berbagai-bagai Tabung seperti Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, Tabung Anak-Anak Yatim dan Tabung kemanusiaan Rakyat Palestin. Baru-baru ini Kementerian Kesihatan juga telah melancarkan Tabung Amal Bantuan Pesakit melalui perkhidmatan SMS dan aplikasi MyDst. Semua platform ini diwujudkan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sedekah atau derma, dan bagi menanam sikap pemurah dalam jiwa rakyat melalui amalan bersedekah.

Akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan tahniah kepada Penganjur dan semua Ahli Jawatankuasa yang terlibat. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberkati segala usaha yang berkebajikan ini. Aamiin.

Dengan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Raheem, Allahumma Shalli 'Alaa Sayyidina Muhammad, Wa 'Alaa Aalihi Wasahbihee Wasallim, Beta dengan sukacita melancarkan buku bertajuk: "Negara Ditanai Dengan Sedekah/The Country Is Upheld With Charity", dan sekaligus merasmikan Majilis Ilmu 2025 berserta semua acara di dalamya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​​​​​

*   *   *​